SIBU, 18 April: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 960 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony, Sarikei yang menerima sumbangan kasut sekolah semalam.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Kapitan Ling Dien Yong yang mewakili timbalan menteri itu berkata, Tiong Sii berharap agar bantuan itu akan dapat mengurangkan beban keluarga pelajar berkenaan.
“Beliau juga menasihatkan agar pelajar tidak menjadikan kekurangan dan kemiskinan sebagai alasan untuk tidak berjaya malah mereka perlu berusaha lebih gigih,” katanya.
Kesemua penerima merupakan pelajar tingkatan satu hingga lima sekolah itu.
Sebelum ini, Tiong Sii turut menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan di kawasan beliau.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Sarikei itu turut berterima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana menerusi sokongan diberikan, pelbagai projek pembangunan termasuk menaik taraf prasarana sekolah di Sarikei dapat dilakukan. -TVS