Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Awang Tengah menyerahkan duit raya kepada ibu tunggal. Foto: TVS

NRDA gerakkan inisiatif dan program pembasmian kemiskinan – Awang Tengah

LIMBANG, 17 April: Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) menyediakan pelbagai inisiatif dan program-program pembasmian kemiskinan untuk membantu golongan ibu tunggal meningkatkan pendapatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, NRDA bukan saja menumpukan kepada usaha untuk melaksana program pembangunan projek dan kemudahan infrastruktur di utara Sarawak tetapi merangkumi program untuk membantu meningkatkan sosio ekonomi mereka.

“NRDA bukan saja menumpu kepada projek-projek yang lain, kita juga nak menumpukan kepada program-program pembasmian kemiskinan untuk meningkatkan sosio ekonomi masyarakat kita.

“Jika orang kita ada kemahiran untuk menjahit kita boleh memohon daripada NRDA untuk membeli mesin jahit atau membeli peralatan untuk memproses makanan dan minuman dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada pegawai-pegawai masjid, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak-anak yatim di Masjid Janatul Firdaus Bahagian Limbang hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu berkata, banyak produk tempatan yang dihasilkan masyarakat setempat pada penganjuran Bazar Ramadan.

“Banyak orang kita semasa Bazar Ramadan menghasilkan produk-produk mereka, dengan katalognya, pembungkusannya pun bagus, seronok melihatnya.

“Orang kita memang pandai dan kreatif, tapi jangan cuma bermusim, kita usahakan bersungguh-sungguh ia akan memberi keuntungan,” katanya lagi.

Oleh itu katanya, golongan ibu tunggal perlu melipatgandakan usaha dengan memanfaatkan kebolehan dan kepandaian untuk berniaga dalam sektor industri kecil dan sederhana.

Kerajaan juga katanya, melalui agensi kerajaan lain menyediakan pelbagai skim-skim bantuan lain untuk menggerakkan program pembasmian kemiskinan ibu tunggal dalam menjana pendapatan dan ekonomi mereka.

“Kita juga menumpu kepada program pembasmian kemiskinan, supaya orang-orang kita yang berada di tahap kemiskinan dapat mengangkat diri mereka dengan melibatkan dalam bidang perusahaan, perniagaan iaitu secara kecil-kecilan.

“Jadi ibu-ibu tunggal, malahan anak-anak kita yang muda itu kalau mereka berminat banyak program yang dibuat oleh jabatan-jabatan yang melaksanakan dasar kerajaan,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan