KUCHING, 17 April: Festival Filem Kenyalang (FFK) yang dianjurkan Universiti Curtin Malaysia mengalu-alukan penyertaan karyawan muda untuk menyertai acara itu.
Ketua Jabatan Media dan Komunikasi universiti berkenaan, Dr Ngu Ik Ying berkata, karyawan yang berminat boleh menghantar filem pendek atau dokumentari terbaik masing – masing yang mengetengahkan Sarawak atau Borneo.
Kata beliau, acara sulung anjuran universiti itu bertujuan untuk menghubungkan karyawan muda dengan pemain industri filem negara serta menyediakan platform kepada mereka untuk mendapatkan bimbingan dan pembiayaan.
“Idea di sebalik FFK ialah kerana kita ingin adalah untuk memperkasakan perwakilan di Borneo dalam filem dan media serta mempamerkan kepelbagaian etnik yang ada wilayah ini,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Festival yang bakal berlangsung pada 8 hingga 9 Mei depan itu ditaja oleh syarikat kejuruteraan, Wehaya Sdn Bhd selain disokong oleh TVS.
FFK menampilkan dua kategori dengan satunya terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi manakala kategori kedua terbuka kepada orang ramai.
Penyertaan adalah percuma dan juga dibuka kepada pelajar antarabangsa atau pemastautin di Malaysia.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai FFK, boleh mengikuti Instagram @pineapplemediateam2022 atau menghantar emel kepada pineapplemediateam2022@gmail.com atau menghubungi pengerusinya Melody di talian 012-3417280. -TVS