Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyerahkan duit raya kepada pegawai masjid di Limbang. Foto: TVS

Fenomena bahang dan cuaca panas, hati-hati rai Aidilfitri – Awang Tengah

LIMBANG,17 April: Rakyat di negeri ini diingatkan untuk terus berhati-hati ketika merayakan satu Syawal tidak lama lagi susulan cuaca tidak menentu khususnya fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda di kebanyakan tempat di negara ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Hari Raya yang disambut beberapa hari lagi perlu dirai dengan penuh kegembiraan tanpa mengenepikan dan mengabaikan aspek keselamatan.

Beliau berkata, selain keadaan cuaca panas dan kemarau, segala peralatan elektrik yang digunakan perlu dipastikan dalam keadaan selamat bagi mengelak berlakunya kebakaran dan sebagainya.

Pada masa sama beliau turut menasihati orang ramai yang akan pulang ke kampung berhari raya untuk berhati-hati supaya sampai ke destinasi yang ditujui dengan selamat.

“Cuaca tidak menentu, musim hujan dan kemarau. Itu adalah ramalan dan kita akan mengadakan perayaan Hari Raya dan kita kena berhati-hati, sambil kita berseronok, bergembira merayakan Hari Raya dalam masa yang sama kita harus jaga diri kita juga, kesihatan kita.

“Kita harus sentiasa berwaspada dan kita rayakan dengan penuh kegembiraan dan merayakan dalam keadaan keselamatan kita terjamin, di jalan raya pun begitu, kita harus berhati-hati,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada pegawai-pegawai masjid, ibu tunggal, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak-anak yatim di Masjid Janatul Firdaus Bahagian Limbang hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail.

Pada Rabu lepas, METMalaysia telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga tahap satu, susulan fenomena bahang dan cuaca panas yang melanda di enam kawasan di semenanjung Malaysia.

METMalaysia dalam laman rasmi Facebooknya berkata, kawasan yang terlibat adalah di Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol.

Sementara itu di Sabah dan Sarawak ketika ini dalam pemantauan.

Menurut METMalaysia suhu normal adalah suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah celcius.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengingatkan orang ramai bahawa pendedahan kepada cuaca panas yang berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal boleh menyebabkan kelesuan haba dan strok haba. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan