KUCHING, 17 April: Sikap berlebihan, tindakan dan perbuatan dalam kehidupan seharian termasuk dalam berpolitik tidak akan membawa kebaikan sebaliknya akan menimbulkan kebencian di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Malah, situasi tersebut secara tidak langsung akan menggugat kestabilan dan perpaduan yang telah dibentuk sejak sekian lama.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, fokus seharusnya diberikan untuk mengeratkan perpaduan dan kesatuan antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang agama, budaya serta kecenderungan politik.
Katanya, amalan tersebut yang telah dipraktik sejak sekian lama di Sarawak telah memberikan suasana aman dan harmoni yang sekali gus menjurus kepada kestabilan politik di negeri itu.
“Inilah yang harus kita kekalkan dan janganlah kita mudah terpengaruh dengan macam-macam ideologi yang kadang-kadang ada yang terlalu bersifat ekstrim.
“Sikap sedemikan pastinya tidak akan membawa kebaikan kepada kita dan agama kita mengajar untuk bersikap adil, hidup dalam suasana aman dan hormat-menghormati antara satu sama lain, itu yang diajar,” katanya ketika berucap di Majlis Iftar Jamaie Ramadan JATI Persatuan Anak JATI Lawas Kuching, malam tadi.
Beliau berkata, secara realitinya, tiada satu kaum pun di Sarawak yang dapat memerintah dengan sendirinya tanpa sokongan dan kerjasama daripada kaum- kaum lain di negeri tersebut.
Justeru katanya, amat penting untuk setiap lapisan masyarakat untuk terus bersatu padu, dan bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan kestabilan negeri sentiasa terjamin. -TVS