SEBUYAU, 16 April: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, Sarawak kekurangan pekerja mahir yang mampu memanjat dan bekerja di lokasi yang tinggi seperti di menara telekomunikasi
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berkata demikian selepas melawat tapak pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Klait petang semalam.
Baca artikel berkaitan >>>>>Â Kerajaan Sarawak labur RM1.8 bilion bina menara telekomunikasi
“Saya bertanya kepada siapakah steel erectors (pekerja kimpalan besi) yang berada di atas dan dimaklumkan mereka dibawa dari Sabah.
“Pihak kontraktor juga memaklumkan saya bahawa kita kekurangan pekerja mahir yang boleh panjat dan bekerja di tempat yang tinggi.Antara cabaran lain yang dilalui dalam pembinaan sesebuah menara telekomunikasi adalah keadaan muka bumi dan tanah di kawasan menara yang akan didirikan.
“Tanah gambut yang terdapat di kawasan menara ini melambatkan sedikit proses pembinaan kerana kita perlu mendapatkan pandangan beberapa agensi lain mengenai kedalaman cerucuk yang harus ditanam,” katanya.
Julaihi berkata, sekiranya tiada halangan sesebuah menara telekomunikasi bernilai lebih RM2 juta mampu didirikan seawal dua minggu.
“Selepas sesebuah menara siap ia akan melalui fasa seterusnya iaitu pemasangan peralatan telekomunikasi oleh operator rangkaian telekomunikasi yang dipilih serta penyambungan bekalan eletrik ke menara tersebut untuk membolehkan ia berfungsi sepenuhnya,” jelasnya.
Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Sarawak, Adiman Ajem dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Syed Mohd Fauzi Shahab. -TVS