KOTA KINABALU, 16 April: Kementerian Pembangunan, Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyarankan lebih banyak koperasi dan Coopmart diwujudkan di kawasan perumahan seluruh negara.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick percaya gerakan koperasi dan penubuhan Coopmart dapat menyediakan perkhidmatan peruncitan khususnya dalam menurunkan harga barangan runcit.
Menurutnya, kerajaan juga melihat koperasi mempunyai peranan yang signifikan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Malah, gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Coopmart Koperasi LA2 Selangor Berhad, di perumahan PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin.
Katanya, anggota koperasi serta masyarakat setempat boleh mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan melalui 2581 rangkaian Coopmart di seluruh negara.
Ewon berkata, jika kesemua koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu, setiap anggotanya juga akan menerima manfaat dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.
“Kementerian melalui SKM juga telah menubuhkan Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Malaysia Berhad pada 1 April 2021 dengan hasrat untuk membentuk sinergi gerakan koperasi yang terlibat dalam aktiviti pemborongan dan peruncitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap inisiatif membangunkan koperasi Coopmart Koperasi LS2 Selangor Berhad dapat diperluaskan pelaksanaannya ke lain-lain Projek Perumahan Rakyat yang mempunyai pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti.
“Ia selari dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menggalakkan penglibatan komuniti khususnya dari kelompok B40 melibatkan diri dalam gerakan koperasi berkaitan peruncitan sekali gus mendapatkan penjimatan pada belian produk barangan keperluan asas pada harga berpatutan,” katanya lagi. -TVS