JAKARTA, 16 April: Tentera Nasional Indonesia (TNI) hari ini mengumumkan operasi ketenteraan besar – besaran telah dilancarkan terhadap kumpulan pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TNPB) di Wilayah Papua.
Operasi itu menyusul selepas TNPB menyerang dua pasukan TNI di sana yang menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh semalam.
Serangan itu juga merupakan usaha untuk menyelamatkan juruterbang Susi Air dari New Zealand, Phillip Merthens yang menjadi tebusan kumpulan itu sejak 7 Februari lepas.
Sebelum ini Merthens ditawan oleh TNPB selepas pesawat dikendalikannya mendarat di Nduga, kawasan terpencil Wilayah Papua.
Jurucakap TNI, Laksamana Muda Julius Widjojono berkata, ketika ini anggotanya masih berada di kawasan berkenaan selepas serangan dilancarkan.
“TNI sedang berusaha mencari dua pasukan tentera berkenaan namun keadaan cuaca ketika ini menjadi halangan utama,” katanya dalam sidang media petang tadi.
Dianggarkan lebih 30 anggota tentera Indonesia yang berada di Papua ketika ini masih gagal dikesan.
Julius menambah, operasi ketenteraan juga merupakan usaha untuk menyelamatkan anggotanya yang terperangkap di wilayah berkenaan. -TVS