SEBUYAU, 16 April: Capaian internet yang baik dengan kelajuan sehingga 20 mbps menyebabkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Tebelu kerap dikunjungi golongan remaja dan belia.
Selain itu, kawasan persekitaran yang bersih dan selesa serta 20 unit komputer yang baharu turut menjadi tarikan PEDi Tebelu.
Salah seorang belia yang ditemui TVS Mohamad Iskandar Yusmandi, 22, berkata, dia sering mengalami gangguan internet di kawasan rumahnya menyebabkan dirinya memilih untuk datang menggunakan kemudahan komputer dan internet yang ditawarkan PEDi secara percuma.
“Apabila berlaku gangguan internet di rumah saya akan datang ke sini untuk menggunakan kemudahan internet.
“Saya juga sering datang ke sini pada waktu siang dan hujung minggu untuk menghabiskan tugasan yang diberi pensyarah,” katanya.
Pelajar dari Universiti Teknologi Mara cawangan Kota Samarahan itu juga turut gemar menonton Youtube untuk mempelajari sesuatu yang baharu dan melakukan rekaan baju menggunakan Canva.
Selain 20 unit komputer, PEDi Tebelu turut menawarkan penggunakan 10 tablet pintar kepada ahli berdaftar.
Selain itu, beberapa kelas insentif pembangunan usahawan digital turut diadakan oleh kakitangan terlatih PEDi bagi memperkasakan pemasaran digital menggunakan platform e-Dagang.
Sehingga ke hari ini, PEDi Tebelu mempunyai 457 ahli berdaftar yang terdiri dari golongan remaja, belia dan dewasa.
Ahli berdaftar juga akan mendapat pelbagai manfaat antaranya latihan ICT secara percuma. -TVS