KUALA LUMPUR, 15 April: Bersempena dengan Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Yayasan Sarawak bersama dengan anak Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia malam ini.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Pada majlis itu, seramai 50 orang pelajar telah menerima sumbangan dan duit raya secara simbolik daripada Tun Taib Mahmud  serta isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Abang Johari serta isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Majlis itu menyaksikan kehadiran seramai 400 tetamu yang rata-ratanya merupakan pelajar-pelajar dari Sarawak yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia.
Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Pada majlis itu juga, Tun Taib Mahmud dan Abang Johari turut menunaikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah.- TVS