KOTA SAMARAHAN, 15 April: Amalan bersedekah makanan kepada golongan memerlukan pada bulan Ramadan perlu diterapkan dalam masyarakat seawal usia kanak-kanak lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, amalan terbaik ketika bulan Ramadan adalah dengan bersedekah termasuk memberi makanan kepada mereka yang memerlukan, malah tradisi memberikan bubur lambuk itu merupakan salah satu cara untuk bersedekah.
“Dalam bulan Ramadan ini memang harus menjadi amalan kita untuk menyumbang sedikit sebanyaknya untuk orang-orang yang berpuasa.
“Seperti kata nabi kita Rasullah S.A.W, sebaik-baik sedekah adalah memberi makanan dan semudah itu dengan memberikan dan mensedekahkan bubur lambuk kepada orang yang berpuasa sedikit sebanyak dapat memenuhi hadis tersebut, di samping kita dapat pahala sunnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Cawangan N16 Muara Tuang 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Mohd Musa di sini, hari ini.
Pada majlis itu kira-kira 1,000 bungkus bubur lambuk berjaya diagihkan sempena program anjuran bersama Tegar Bikers dan Teachers Bikers yang bermula 7.30 pagi sehingga 3 petang.
Idris berkata, tradisi Jerayawara Bubur Lambuk yang dianjurkan itu menitikberatkan penyertaan semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, serta anak-anak mereka.
Usaha itu katanya, secara tidak lansung mendedahkan mereka kepada aktiviti kemasyarakatan sekali gus membantu dalam merapatkan silaturrahim antara mereka.
“Walaupun kebiasaannya tradisi di Sarawak mengagihkan bubur pedas berbanding bubur lambuk namun mesej utama amalan itu iaitu bersedekah harus menjadi keutamaan.
” Oleh demikian, ambillah peluang baik di bulan mulia ini untuk melakukan amalan sedekah dan seterusnya menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya. – TVS