Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) 2023 hari ini. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Pengeluaran susu getah Malaysia merosot – Fadillah

ByOdleen Catherny

KUCHING, 15 April: Industri getah Malaysia jatuh merudum ke tangga kelapan dunia susulan pengeluaran susu getah yang semakin mengecil, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi melihat kepada keperluan pendekatan baharu seperti automasi dan mekanisasi agar kuantiti bahan mentah itu dapat dipertingkatkan.

“Pengeluaran susu getah kita dah menurun tetapi kita merupakan nombor satu di dunia dalam mengeluarkan hasilan getah seperti sarung tangan getah asli dan sebagainya namun begitu kita terpaksa import bahan mentah berkenaan.

Sekitar simbolik pelancaran TAM Sarawak (dari kiri) Presiden MBOT, Datuk Siti Hamisah Tapsir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Presiden TAM, Ts. Tung Chee Kuan dan Pengerusi TAM Sarawak, Ts. Ting Sie Chun. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Sebab itu saya berpendapat, ahli teknologi dan juruteknik perlu memainkan peranan memfokuskan kepada pendekatan automasi dan mekanisasi dengan turun sendiri ke lapangan bagi memahami proses mendapatkan bahan mentah daripada pemain industri, peladang dan pekebun kemudiannya memperkenalkan kepada mereka bagaimana proses itu dapat diautomasikan agar produktiviti dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) 2023, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan automasi dan mekanisasi, beliau memberitahu di bawah kementeriannya sejumlah RM60 juta telah diperuntukan menerusi Bajet 2023 khusus untuk membuat kajian berkaitan kecerdasan buatan (AI), robotik termasuklah automasi dan mekanisasi.

“Saya galakkan ahli teknologi untuk mengambil kesempatan ini untuk digunakan bersama agar kita dapat tingkatkan pengeluaran produk-produk kita.

(dari kiri) Presiden MBOT, Datuk Siti Hamisah Tapsir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Presiden TAM, Ts. Tung Chee Kuan dan Pengerusi TAM Sarawak, Ts. Ting Sie Chun. Foto: Zaim Zharfan (TVS)

Automasi ini maknanya semua proses pengeluaran bahan mentah dapat dikawal menerusi komputer. Contohnya, tekan saja komputer, mesin akan buat torehan, sejurus susu getah keluar dalam mangkuk, satu bahan lagi perlu diwujudkan bagi memastikan kualiti susu getah dalam keadaan baik dan tidak beku sebelum dihantar untuk diproses di kilang.

Ini adalah keseluruhan proses yang kita kena lihat,” jelasnya.

Beliau juga menyeru Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT), Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) dan semua agensi kerajaan untuk bekerjasama memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya kepada peningkatan produktiviti pengeluaran dalam sektor pertanian yang turut menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.

“Jadi ini adalah apa yang saya ingin lihat, kerjasama antara MBOT dan semua agensi di peringkat kerajaan sama ada persekutuan mahupun negeri,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan