KUCHING, 15 April: Kualiti lada Sarawak terus mendapat pengiktirafan dunia susulan proses penghasilannya yang menerapkan teknologi masa kini.
Pengiktirafan itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mana beliau juga mengakui usaha berterusan dilakukan Lembaga Lada Malaysia dalam meningkatkan daya saing produk lada.
“Contohnya, teknologi dron sedang digunakan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti penanaman lada melalui teknologi pengimejan hiperspektral.
Portal Pengurusan Ladang Lada dan aplikasi mudah alih melalui LadaGo adalah platform lain yang membolehkan industri mengenal pasti penyakit lada dan menawarkan pilihan rawatan kepada petani untuk menguruskan tanaman mereka dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Persatuan Teknologi Malaysia (TAM) 2023 di sini, hari ini.
Tambahnya, Lembaga Lada Malaysia dengan ibu pejabatnya di Kuching secara berterusan memanfaatkan teknologi dalam memastikan pengeluaran lada yang mampan melalui inovasi, penyelidikan dan pembangunan termasuk penyelesaian pertanian moden bersepadu. – TVS