LIMBANG, 15 April: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) terus cakna terhadap masalah gelandangan di negeri ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, pelbagai bantuan digerakkan menerusi inisiatif di bawah kementerian itu termasuk gelandangan di Limbang.
Beliau berkata, setiap tahun operasi menyelamat gelandangan turut dilakukan kementerian itu merangkumi beberapa kawasan di Kuching, Miri, Bintulu, Sibu termasuk Limbang.
“Menteri KPWK Dato Sri Fatimah Abdullah memang sangat prihatin terhadap kebajikan gelandangan ini yang mana saban tahun kementerian bersama dengan agensi kerajaan yang berkenaan termasuk polis dan juga hospital memang melakukan rondaan berkala di bandar-bandar besar.
“Ia termasuk di Kuching, Sibu, Miri dan di Limbang juga turut diadakan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sejambak Kasih Raya 2023 Bahagian Limbang di Purnama Hotel hari ini.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Limbang, Sulaman Engal, wakil Residen Limbang, Aspalela Sahmoni dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Limbang, Wan Hasif Wan Jamari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menjelaskan Limbang mempunyai mekanisme terbaik dalam menangani masalah gelandangan di utara negeri ini dengan mengenal pasti gelandangan untuk diselamatkan.
“Memang kita akui ada gelandangan yang sangat kritikal dan sudah dikenal pasti di Limbang. Siasatan sudah dijalankan sama ada dia ada masalah mental supaya dapat dihantar ke hospital dan juga menyiasat latar belakang keluarganya dan sebagainya.
“Hasil siasatan didapati gelandangan ini tidak mempunyai masalah dari segi mental dan mereka sihat serta mempunyai keluarga tapi dia memilih hidup seperti ini dan sekarang ini kita sedang menunggu perintah mahkamah untuk menghantar dia ke Rumah Desa Bina Diri di Kuching,” katanya lagi.
Beliau berharap masyarakat lebih cakna mengenai masalah itu dengan melaporkan kepada pihak berkaitan seperti JKM selain perhatian daripada ahli keluarga gelandangan yang terlibat.
Pada majlis yang sama, seramai 100 penerima terdiri daripada golongan ibu tunggal dan penerima bantuan JKM menerima hamper dan sumbangan duit raya. – TVS