SARIKEI, 15 April: Semua kawasan berisiko terdedah kebakaran belukar di daerah Sarikei sedang dipantau rapi bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, bomba mengenal pasti sekurang-kurangnya empat lokasi hotspot yang sering berlaku kejadian itu sebelum ini.
Malah katanya, ada antaranya terdapat belukar tebal dan tanah gambut.
“Ia termasuklah Jalan Kim San, Selalang, Sare dan Sungai Minah. Sebagai langkah susulan, kita melakukan rondaan dan pemantauan ke atas lokasi terbabit.
“Pada masa yang sama, bomba juga mengadakan kempen dan mengedar risalah keselamatan kepada orang ramai sebagai peringatan agar mereka sentiasa berwaspada,” katanya pada program agihan bubur lambuk bersama Jabatan Penerangan dan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di Bazar Ramadan Sarikei semalam.
Mahmudin berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung aktiviti pembakaran terbuka.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk agar tidak melakukan pembakaran tanpa kawalan, bagi mengelak malapetaka lebih besar.
“Pada masa yang sama, jangan membuang puntung rokok atau punca api di merata-rata tempat,” katanya lagi.
Dalam pada itu ujar beliau, aktiviti pembakaran sisa tanaman, sampah dan lain lain dalam keadaan cuaca terlalu panas boleh menyebabkan api merebak dengan cepat. – TVS