TAWAU, 15 April: Warganegara Indonesia yang berada di negara ini dan mahu pulang ke negara asal bagi menyambut lebaran disaran menggunakan laluan perjalanan yang diwartakan.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang negara ini.
Menurutnya, setiap kali menjelang musim perayaan terdapat cubaan pergerakan masuk dan keluar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan sempadan perairan Tawau, Sabah dan Nunukan, Indonesia melalui ‘lorong tikus’.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk menangkap tetapi kita pun faham di kawasan Tawau dan juga Nunukan ramai yang mempunyai pertalian keluarga jadi kalau yang mahu datang berhari raya ke sini melalui jalan tidak sah kita akan halau dan bagi amaran.
“Tetapi sekiranya melibatkan sindiket penyeludupan migran yang datang secara beramai-ramai maksudnya terdapat organisasi yang membuat keuntungan daripada transaksi kita beri amaran tegas agar jangan melakukannya,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada Perasmian Ops Pagar Laut 1/2023 di Kapal KM Kapas, Tawau Sabah.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengetatkan kawalan di kawasan sempadan negara dengan melaksana penugasan rondaan dan risikan Ops Pagar Laut 24 jam sepanjang Aidilfitri ini bagi mengekang jenayah rentas sempadan.
“Kawasan sempadan sememangnya terbuka untuk kegiatan jenayah terutamanya berdekatan Tawau dan Nunukan kerana jarak yang terlalu dekat sehingga menjadi punca jenayah penyeludupan sering berlaku di kedua-dua negara,” katanya lagi.
Shahrizan berkata, data menunjukkan kes jenayah di perairan meningkat pada musim perayaan berbanding hari biasa kerana penjenayah beranggapan petugas keselamatan sedang bercuti menyambut Hari Raya. – TVS