Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Lee menyerahkan saguhati kepada pengguna kereta. Foto: TVS

Berhati-hati di jalan raya ketika musim perayaan

Miri, 15 April: Pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya terutamanya pada musim perayaan.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, kes kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan terutama pada musim perayaan susulan penambahan bilangan kenderaan di jalan raya.

Justeru tambah Kim Shin, beliau bersama kementeriannya komited mengadakan kempen keselamatan jalan raya sebagai usaha menerapkan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

 

Dato Lee memasang topi keledar kepada pengguna motosikal. Foto: TVS

“Setiap tahun, kita boleh melihat bahawa bilangan kes kemalangan ini meningkat. Ini juga susulan dengan penambahan bilangan kereta, motosikal dan pengguna-pengguna jalan raya. Setiap tahun semasa tibanya perayaan seperti Hari Raya akan datang, Tahun Baru Cina, Gawai, Krismas, kita mengadakan kempen keselamatan jalan raya untuk memperingatkan pengguna jalan raya iaitu kita mahu mereka lebih berhati-hati semasa tibanya hari kebesaran.

“Ini kerana biasanya apabila tibanya hari kebesaran, bilangan pengguna jalan raya iaitu bilangan kereta, motosikal dan pejalan kaki banyak bertambah kerana rakyat ramai akan balik kampung dan sebagainya,” katanya ketika Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Bahagian Miri di Stesyen Shell Permyjaya hari ini.

 

Dato Lee bergambar dengan pihak MJKR Miri dan Shell Permyjaya. Foto: TVS

Untuk rekod, berdasarkan statistik perbandingan kemalangan jalan raya dari Trafik IPD Miri bagi tempoh Januari hingga April 2022 ialah 842 kes, manakala bagi tempoh yang sama tahun 2023 ialah 975 kes, dengan peningkatan sebanyak 133 kes bersamaan 15.7 peratus.

“Kemalangan boleh berlaku kerana statistik sudah menunjukkan punca utama kemalangan adalah faktor manusia, tingkah laku dan sikap. Contohnya, memandu secara melulu, memandu secara agresif, memandu tidak mengikut lorong yang sepatutnya, memandu laju dan sekali-sekala dalam keadaan mabuk dan sebagainya. Jadi semua ini adalah faktor manusia. Oleh itu kita perlu benar-benar menerapkan budaya keselamatan dalam setiap pengguna jalan raya,” tambah beliau lagi.

 

Dato Lee menyerahkan saguhati kepada penunggang motosikal. Foto: TVS

Pada masa yang sama kempen anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Miri juga mengagihkan sebanyak 30 topi keledar kepada pengguna motosikal dan 50 beg saguhati kepada pengguna kenderaan dari pihak Shell.

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak juga dalam perancangan untuk menghidupkan semula permainan ‘Traffic Games’ bagi mendidik kepentingan keselamatan jalan raya dalam kalangan pengguna jalan raya bermula pada peringkat sekolah. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan