TASEK GELUGOR, 15 April: Biarpun kuih moden semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai terutamanya golongan muda apabila tibanya Syawal, namun manisan tradisional seperti agar-agar kering tetap mempunyai penggemarnya yang tersendiri.
Rasanya yang manis, bertekstur lembut dan berwarna – warni mempunya daya tarikan bagi menambat selera orang ramai.
Seorang nenek di Jalan Besar di sini, Rokiah Salleh, 62, tidak menang tangan menyiapkan tempahan agar-agar kering yang diusahakannya sejak 25 tahun lalu apabila tibanya musim Hari Raya Aidilfitri.
Kata ibu tunggal tersebut, dia hanya menghasilkan agar-agar kering pada bulan Ramadan kerana menghasilkannya secara tradisional dan kecil-kecilan.
“Hari biasa pun ada permintaan, cuma saya menerima tempahan bagi majlis seperti pertunangan atau perkahwinan.
“Anak sulung bantu saya membuat pemasaran di internet dan permintaan amat menggalakkan sehingga ada yang menempah dari Sarawak, Sabah dan luar negara seperti Arab Saudi dan Indonesia,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Berkongsi mengenai cara penghasilan manisan itu, Rokiah berkata, pembuatannya memerlukan bahan yang ringkas iaitu agar-agar, gula, air dan pewarna.
“Cuma ia perlukan kesabaran tinggi ketika berdepan keadaan cuaca tidak baik untuk mengeringkan agar-agar atau tersilap sukatan bancuhan.
“Agar-agar yang siap dihasilkan dan dipotong kecil akan dijemur di luar rumah sehingga kering dan tempohnya sehingga tiga hari atau bergantung kepada keadaan cuaca.
“Jika cuaca hujan, ia boleh rosak,” kata nenek kepada lapan cucu dan ibu kepada empat anak itu.
Ujarnya, agar-agar kering mampu bertahan dalam tempoh lama kerana melalui proses pengeringan tersebut daripada agar-agar basah.
Pada Ramadan kali ini dia hanya menghasilkan tempahan tiga kilogram atau 300 bekas agar-agar kering yang dijual di beberapa kedai di kawasan sekitar dan platform media sosial.
Agar-agar kering Rokiah yang mengandungi 100 keping sebekas itu dijual pada harga RM20. – TVS