KUCHING, 14 April: Umat Islam di sekitar bandar raya ini kini lebih mudah membayar zakat dengan penyediaan kiosk oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Pengurus Besar TBS, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie berkata, kiosk yang diperkenalkan TBS menerima kaedah pembayaran seperti wang tunai, kad debit, kad kredit dan e-dompet.
“Selain pembayaran zakat, kiosk ini juga berfungsi dalam membuat pembayaran bil dan utiliti yang lain.
“Ini merupakan kiosk pertama di Kuching dan seterusnya juga akan diperkenalkan di Sibu,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Kiosk Pembayaran Zakat di Majma Mall di sini, hari ini.
Selain daripada kiosk, umat Islam juga boleh membuat pembayaran zakat di kaunter pejabat TBS atau secara dalam talian seperti aplikasi Tabung Baitulmal Sarawak, Portal Baitulmal Kamek, SPay Global dan semua saluran perbankan secara dalam talian di pelbagai bank. – TVS