KUCHING, 14 April: TVS melalui badan amalnya, TVS Prihatin di bawah Sarawak Media Group (SMG) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada anak-anak yatim di dua rumah kebajikan di Kuching di sini.
Inisiatif sumbangan dengan kerjasama Mahsuri Dagang itu telah disampaikan kepada penghuni Rumah Penjagaan Laman Huda Kampung Gita dan Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching.
Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada wakil kedua-dua rumah kebajikan berkenaan iaitu Penyelia Asrama bagi Rumah Penjagaan Laman Huda Kampung Gita Nurul Atiqah Ismail dan Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah Kuching Norazmah Bakar.
Menurut kenyataan pada Khamis memaklumkan sumbangan Ramadan itu adalah salah satu aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antara TVS dan Mahsuri dalam usaha menyokong kempen bulan Ramadan bagi kedua-dua organisasi.
“Sumbangan yang merupakan produk kicap Mahsuri telah disempurnakan oleh Pengurus Jualan Kawasan Sarawak Mahsuri Dagang Sdn. Bhd Phang Li Tah dan disaksikan oleh Eksekutif Perhubungan Awam dan Komunikasi TVS Janice Edmund Stanley.
“Melalui program ini, TVS dan juga Mahsuri berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan untuk sebarang program CSR yang akan datang,” katanya. – TVS