Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2023. Foto: TVS

Sarawak sedia tawar tapak lokasi pos kawalan sempadan Malaysia-Indonesia

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 14 April: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan kesediaan kerajaan Sarawak menawarkan tapak bagi membina pos kawalan sempadan Malaysia-Indonesia.

Menurutnya, tawaran itu bertujuan untuk menambah pos kawalan sempadan sejajar dengan matlamat kerajaan membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negeri ini.

Dengan adanya penambahan pos kawalan, ia juga mampu meningkatkan keupayaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

“Kita sedia (tapak) tetapi tanggungjawab terhadap pos kawalan sempadan ini sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan. Ini bermakna Sarawak tidak mempunyai kuasa.

“Bagaimanapun kita akan memberi kerjasama dengan pihak kerajaan pusat untuk menawarkan tapak lokasi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2023 di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta dua timbalannya, Datuk Rosey Yunus dan Mohammad Razi Sitam.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau menasihati ketua masyarakat dan orang ramai mengenai kemungkinan wujud masalah sosial susulan kemasukan pekerja asing ke Sarawak memandangkan Kerajaan Sarawak sudah membuka pintu sempadan kepada pekerja buruh asing.

Terdahulu, Abang Johari mengagihkan juadah Aidilfitri kepada 11 agensi penerima terdiri daripada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang bertugas menjelang perayaan ini.

Antara penerima bagi program anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak itu termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan