Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama orang ramai di Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani bertempat di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (ISLAK). Foto: Anwar Ibrahim (FB).

Ketegasan kerajaan tadbir negara bantu tingkat pendapatan – PM Anwar

ByBernama

SUNGAI PETANI, 14 April: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegasan kerajaan mentadbir negara menerusi dasar-dasar diperkenalkan berjaya membantu meningkatkan hasil pendapatan Malaysia.

Sebagai contoh, beliau berkata hasil yang diperoleh menerusi kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semakin bertambah dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, terutama cukai-cukai dikenakan ke atas golongan kaya.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri memperoleh kutipan yang melonjak naik cukup tinggi dan angka akan diumumkan kemudian. Jadi maknanya bila kita lakukan satu sikap pendirian kita yang tegas tauke-tauke besar dan saudagar-saudagar kaya yang jarang nak bayar cukai penuh, semua kena bayar penuh sekarang.

“Kita tunjukkan kita jangan bertolak ansur, orang bawahan kena bayar cukai, (tetapi) orang kaya, maha kaya cuba mengelak dari membayar cukai (sebelum ini). Kita bagi isyarat dua tiga bulan lalu dan hasil kita melonjak naik tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata jika pendapatan negara terus meningkat, kerajaan mampu untuk memulangkan manfaatnya kepada rakyat termasuk penjawat awam.

Perdana Menteri berkata jika pelaburan asing dan ekonomi negara bertambah baik dalam tempoh satu atau dua tahun, beliau memberi jaminan keutamaan akan diberikan kepada penjawat awam untuk menikmati kenaikan gaji dan elaun.

Sementara itu, Anwar mengumumkan bahawa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri tahun ini tidak akan diadakan di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya.

Anwar berkata beliau dan anggota Jemaah Menteri, sebaliknya akan turun ke negeri-negeri dan menyertai majlis-majlis dianjurkan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri yang akan dimulakan dengan negeri ini di Alor Setar pada 29 April ini.

“Jadi kita ada minat sikit dengan Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di Alor Setar itu jauh lebih lazat daripada tempat lain,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau sudah menghantar nama calon bagi mengisi jawatan Ketua Audit Negara kepada Yang di-Pertuan Agong dua minggu lepas.

Beliau berkata proses untuk menamakan calon jawatan itu perlu melalui beberapa prosedur sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Semua proses sudah selesai. Ya, saya persembahkan dua minggu lepas…ada prosedur seperti dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berkenaan.

Sebelum ini, jawatan Ketua Audit Negara disandang Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid sehingga 23 Feb lepas.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan