JAKARTA, 14 April: Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud menggegarkan wilayah barat laut Tuban, Jawa Timur, Indonesia.
Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa bumi itu berlaku pada 4.55 petang waktu tempatan.
Pusat gempa dikesan dan dirasai pada kedalaman 632 kilometer dari darat.
Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) melalui Jurucakapnya Abdul Muhari berkata, gegaran turut dirasai di kawasan Jawa Timur hingga Jawa Barat.
“Gegaran cukup kuat sehingga kami menjalankan penilaian pantas untuk menentukan tindakan kecemasan jika perlu,” katanya dalam suatu kenyataan.
Pihaknya juga akan terus melakukan penyelarasan bersama ajensi terbabit berkenaan kesan kerosakan dan juga mangsa.
Amaran ke atas gempa susulan dikeluarkan pihak BMKG dan tiada amaran tsunami akibat gegaran itu. – TVS