MIRI, 13 April: Program World #QuranHour 2023 berlangsung serentak di seluruh Malaysia menggabungkan kerjasama antara perpustakaan dan organisasi bukan perpustakaan.
Timbalan Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datu Rashidah Bolhasssan berkata, program pada tahun ini bertemakan ‘Memanusiakan Ummah’ dengan berpaksikan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan) bagi membentuk pemikiran berbakti kepada Allah S.WT.
“Pada hari ini, kita menggunakan tema ‘Memanusiakan Ummah’ dengan berpaksikan 11 karakter Al-Abrar atau berbakti kepada Allah SWT iaitu Amanah, Takwa, Infak, Ikhlas, Berorientasikan Akhirat, Teguh, Sabar, Kawalan Diri, Taat, Bina Jiwa dan Syukur.”
“Kandungan Surah Al-Insan ini akan dikupas agar menjadi panduan umat untuk memperbaiki diri agar menjadi manusia yang mampu berkhidmat dengan pemikiran untuk berbakti Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program World #QuranHour 2023 di Surau Al Hidayah Tab Cinaq di sini, hari ini.
Tambahnya juga, Program World #QuranHour ini adalah untuk menggalakkan masyarakat membaca Al-Quran, tetapi juga untuk memahami dan mengamalkan apa yang terkandung dalam Al-Quran sekali gus melahirkan masyarakat berilmu.
“Matlamat utama bagi program ini adalah untuk menggalakkan kita bukan sahaja untuk membaca Al-Quran, tetapi juga memahami dan mengamalkan apa yang diajarkan dalam Al-Quran.”
“Kita juga berharap supaya kita menerapkan dalam kehidupan nilai-nilai murni mulia yang dapat kita hayati di dalam surah Al-Quran bagi membentuk cara hidup berlandaskan Al-Quran.
“Ini juga salah satu cara kita melahirkan legasi yang mempunyai sistem operasi sendiri berlandaskan Al-Quran. Oleh itu, dengan membaca, menghayati dan mengamal, kita ingin melahirkan masyarakat yang berilmu yang mempunyai jiwa untuk belajar sepanjang hayat,” katanya lagi.
Tedahulu, bacaan ayat suci Al-Quran dipimpin oleh Pegawai Agama Islam Miri, Ustaz Sharafudin Suaut bersama Kumpulan Zikir dan Kumpulan Marhaban Surau Al-Hidayah Tab Cinaq serta Tadabbur Terjemahan Surah Al Insan dari Ustaz Al Amin Daud turut diperdengarkan hari ini.
Program turut menyaksikan penyerahan sumbangan kira-kira 200 naskah buku daripada pihak Persatuan Pustakawan Malaysia, Cawangan Sarawak kepada Pusat Sumber Surau Al-Hidayah di bawah Projek ‘Book Share’ dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak, Miri. -TVS