KUCHING, 13 April: Penubuhan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Cawangan Sarawak bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna dan seterusnya membuat aduan sekiranya menjadi mangsa penipuan.
Pengerusinya, Wynson Ong Teck Been berkata, ia juga boleh mewujudkan ekonomi yang seimbang apabila hak dan kepentingan pengguna dilindungi.
Kata beliau, masalah utama yang dihadapi oleh pengguna ketika ini ialah berlaku peningkatan bagi kes penipuan dalam talian.
“Namun demikian pengguna (dilihat) sanggup menanggung kerugian berbanding membuat aduan kepada jabatan yang berkaitan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wynson yang juga Ahli Majlis MTPN menambah, antara punca utama berlakunya kes berkenaan ialah kerana pengguna tidak menyedari hak mereka selain tidak mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan.
“Oleh itu, mereka memilih untuk berdiam diri.
“Di pihak kami, sebaik sahaja menerima laporan, siasatan akan dibuat serta disusuli usaha penyelarasan dengan jabatan kerajaan yang berkaitan, ” katanya pada sidang media hari ini.
Tindakan seterusnya kata beliau ialah membuat laporan polis serta mengemukakan aduan kepada Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna dan membawanya ke Tribunal Tuntutan Pengguna.
“Oleh itu, kami berharap isu-isu pengguna dapat diambil perhatian di Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi kerajaan mengambil langkah-langkah sewajarnya,” tambahnya.
Terdahulu, MTPN Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng bertujuan untuk bekerjasama mengenai kesedaran penyakit Rabies dalam kalangan komuniti di Kuching.
Turut hadir bersama Presiden Kebangsaan Majlis Tindakan Pengguna Negara, Datuk Paduka Dr Yeo Kok Vui, Setiausaha Agung Majlis Tindakan Pengguna Negara, Rudy Rahman, Pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Negara Kuala Lumpur, Abdul Malik Jamaran dan Setiausaha Majlis Tindakan Pengguna Negara Sarawak, Ryan Lim Jia Hong. – TVS