JAKARTA, 13 April: Seramai 300 orang menghadiri Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa di Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Majlis itu berlangsung meriah dengan majoriti tetamu terdiri daripada rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Jakarta dan kawasan sekitar.
Duta Besar Malaysia di Indonesia, Dato Syed Md Hasrin berkata, program ini merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh pejabatnya.
“Selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, kita menganjurkan semula acara ini. Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan,” katanya.
Menurut Syed, menerusi penganjuran majlis itu, ia dapat mengubat kerinduan perantau Malaysia di Indonesia apabila mereka berpeluang bertemu dengan rakan senegara.
Sempena acara itu, penganjur turut menyediakan pelbagai menu istimewa termasuklah nasi kandar dan kuih tradisional dari Malaysia.
Program juga berlangsung dengan kerjasama Perwakilan Tetap Malaysia ke ASEAN, Malaysia Club Jakarta dan Education Malaysia Indonesia. -TVS