Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. Foto: Pejabat Ketua Menteri Sabah

Mahasiswa Sabah perlu rebut pelbagai inisiatif disedia kerajaan negeri

ByBernama

KUALA TERENGGANU, 13 April: Para mahasiswa Sabah diseru agar merebut peluang melalui pelbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan di negeri tersebut.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata antara aspek yang diberikan penekanan dan tumpuan oleh kerajaan negeri yang terkandung dalam hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) ialah pembangunan modal insan.

Justeru katanya Kumpulan Yayasan Sabah dalam hala tuju pembangunan pendidikan secara berterusan telah menawarkan pelbagai tajaan seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar Luar Bandar, Biasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Tinggi.

“Saya berharap siswa siswi rebutlah pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan. Tanamkan azam untuk berkhidmat kembali kepada masyarakat, kerana khidmat bakti anda amat diperlukan untuk membangunkan negeri Sabah yang kita sayangi,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 500 mahasiswa Sabah Zon Timur di Taman Tamadun Islam di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Arif.

Hajiji berkata bagi memastikan suara mahasiswa diberi perhatian, kerajaan Sabah juga telah menyediakan pelbagai platform untuk pelajar menyuarakan pandangan mereka antaranya menerusi penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang pertama kali diadakan pada Mei 2022.

“MPPS mengumpulkan pemimpin-pemimpin pelajar Sabah dari seluruh IPTA, IPTS, IPG, Institut Latihan termasuk Tingkatan Enam, dan kerajaan negeri juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) sebagai pengiktirafan kepada anak-anak muda terutamanya para pelajar,” katanya.

Menurutnya pada 2022, kerajaan negeri membelanjakan RM45 juta dalam pelaksanaan inisiatif termasuk bantuan BUDI untuk pendaftaran pelajar ke IPT, bantuan BAIK untuk pemberian komputer riba dan bantuan kepada SEMESTA, iaitu bantuan kewangan kepada persatuan serta kelab mahasiswa Sabah yang berdaftar.

Katanya lagi kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlahRM16.2 juta dalam Belanjawan 2023 untuk pelaksanaan program-program belia bagi melahirkan kepimpinan belia yang berkualiti.

“Harapan kita agar dapat melahirkan mahasiswa yang bukan hanya berjaya dalam bidang akademik semata-mata, tapi juga pada masa yang sama memiliki sahsiah perilaku diri yang baik,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan