KUCHING, 13 April: Masyarakat diingatkan supaya tidak lupa, leka dan lalai ketika membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, perkara itu harus diberi perhatian terutamanya oleh suri rumah memandangkan mereka kerap menghabiskan masa di dapur sekali gus terdedah kepada risiko kebakaran.
Pada masa sama katanya, suri rumah boleh mengamalkan tips keselamatan yang dikongsi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Kita amat berterima kasih kepada JBPM Sarawak kerana sentiasa mengingatkan tentang pentingnya mengamalkan asas keselamatan.
“Oleh itu, masyarakat perlu lebih cakna bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh JBPM Sarawak di Bazar Ramadan Stutong di sini hari ini.
Kempen itu mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Yang turut hadir, Pengarah JBPM Sarawak, Datu Khirudin Drahman.
Dr. Sim turut menyambut baik kempen berkenaan yang diadakan tepat pada masanya.
Sementara itu, Khirudin berkata, kempen itu juga mampu meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya kebih berwaspada.
“Pada ketika kita meraikan perayaan, keselamatan perlu terus menjadi keutamaan,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut mengagihkan bubur lambuk kepada peniaga dan pengunjung di bazar berkenaan. -TVS