Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang wanita tempatan di sini menanggung kerugian hampir RM28,000 selepas terpedaya dengan tawaran untuk mendapatkan komisen melalui media sosial. Foto: Envato.

Suri rumah putih mata duit simpanan hampir setengah juta lesap

ByTVS

IPOH, 12 April: Seorang wanita di sini berputih mata setelah duit simpanannya hampir setengah juta lesap dipercayai akibat menjadi mangsa penipuan ‘phone scam’ baru-baru ini.

Suri rumah berusia 53 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket terbabit selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya wakil syarikat insurans dan pegawai polis pada Februari lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri, mangsa dimaklumkan oleh suspek kononnya dia telah membuat tuntutan palsu insurans selain didakwa terlibat kes jenayah pemerasan dan judi haram.

Kata Mohd. Yusri, mangsa kemudiannya diminta membuat pemindahan kesemua wang yang berada dalam akaun bank miliknya yang telah didedahkan maklumat oleh sindiket dengan alasan untuk siasatan.

“Mangsa yang mengikut arahan suspek kemudiannya menyedari dia telah ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada ahli keluarganya.

“Selepas membuat semakan ke atas akaun bank, mangsa mendapati wang simpanannya telah berkurangan sebanyak RM459,754,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, wanita itu yang menyedari dia telah diperdaya ‘scammer’ kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dekat sini pada 8 April lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd. Yusri menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan taktik penjenayah scammer kerana ramai individu yang telah menjadi mangsa.

Orang ramai diminta menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau berhubung dengan IPD berhampiran sekiranya mempunyai sebarang keraguan bagi mengelakkan menjadi mangsa. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan