SIBU, 12 April: Hasrat seorang suri rumah di sini untuk memiliki jam tangan berjenama mewah, Rolex berkecai selepas terpedaya ketika membeli menerusi aplikasi Wechat.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa yang merupakan seorang warga emas berusia 60-an berhubung dengan seorang ‘penjual’ pada awal Februari lepas.
Baca artikel berkaitan >>>>>> Suri rumah putih mata duit simpanan hampir setengah juta lesap
Kata beliau, suspek menawarkan untuk menjual jam berkenaan pada harga RM526 400.
“Sepanjang berurusan, mangsa telah ditawarkan untuk membeli empat utas jam tangan dengan harga berkenaan.
“Selepas bersetuju, suri rumah itu telah membuat sembilan transaksi pembayaran ke satu akaun bank bermula pada 15 hingga 27 Februari,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Zulkipli memberitahu, wanita itu mengesyaki menjadi mangsa penipuan apabila penjual itu gagal dihubungi manakala mangsa tidak menerima jam seperti dijanjikan.
“Kes sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelasnya. -TVS