Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn bersama-sama tetamu kehormat lain melihat komputer Raspberry Pi sebelum sidang media STEM Trailblazers 2023. Foto: Lorenzo Isaac (TVS)

STEM Trailblazers 2023, usaha kukuhkan kemahiran STEM di Sarawak

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 12 April: Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak bakal menganjurkan acara STEM Trailblazers 2023 pada 6 hingga 9 Julai depan.

Acara mega itu bertujuan untuk mempromosikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) di negeri ini dengan kerjasama Swinburne Universiti Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dan Curtin Universiti Sarawak.

Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn, sebanyak 30 pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terlibat termasuk 13 penceramah antarabangsa.

“Lebih 2,000 pelajar dan guru dijangka akan menyertai pameran dan ceramah industri pada acara itu nanti,” katanya pada sidang media STEM Traiblazers 2023 di Swinburne Universiti, Kuching, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, penganjuran acara STEM Trailblazers 2023 menunjukkan bahawa Sarawak telah mengambil langkah positif untuk memperkukuhkan kemahiran STEM dan mempromosikan inovasi dan teknologi dalam bidang pendidikan.

“Acara ini akan mempunyai dua program utama, iaitu Forum Raspberry Pi dan STEM. Kedua-dua program adalah penting dalam mencungkil bakat rakyat Sarawak dan menunjukkan betapa komitednya kerajaan negeri dalam pembangunan modal insan.”

“Selain itu, antara program yang diadakan dalam acara ini adalah sesi bengkel STEM serentak, festival STEM, 20 pameran industri, dan 13 ceramah bakal diberikan oleh penceramah yang diiktiraf antarabangsa sepanjang empat hari tersebut.”

“Acara ini dikuasai sepenuhnya oleh Raspberry Pi,” jelasnya sambil menyatakan kerajaan negeri sedang mempergiatkan pengedaran komputer Raspberry Pi kepada semua sekolah di Sarawak.

Inisiatif itu katanya turut mempertimbangkan keupayaan dan batasan pelajar melalui penggunaan platform teknologi yang sesuai.

Dedahnya lagi, peranti tersebut sesuai untuk digunakan oleh pelajar di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses internet kerana ia mempunyai banyak kelebihan yang menumpukan kepada kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

“Raspberry Pi ialah komputer bersaiz kad kredit kos rendah yang dipalamkan ke dalam monitor komputer. Ia adalah peranti berkebolehan yang membolehkan pelajar meneroka pengkomputeran dan belajar cara memprogram dalam bahasa komputer (pengaturcaraan) seperti Scratch dan Python.

“Sehingga tahun 2021, kementerian telah menyediakan lebih daripada 9,000 unit Raspberry Pi beserta monitor, papan kekunci dan tetikus kepada sekolah rendah di seluruh Sarawak. Ini adalah selaras dengan objektif MEITD untuk mempromosikan pendidikan STEM dan ICT untuk pelajar di Sarawak,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, selain memperkukuhkan program penggunaan Raspberry Pi di dalam kalangan pelajar, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada latihan penggunaan ICT kepada para guru seluruh negeri.

“Pada tahun 2022, lebih daripada 1,300 guru, kakitangan PPD, dan juruteknik komputer sekolah telah dilatih, memenuhi keperluan kementerian untuk melatih sekurang-kurangnya 1,265 guru pada tahun 2022.

“Latihan ini akan menjadi latihan yang berterusan dan ditawarkan kepada guru pada tahun 2023 dan 2024 serta mungkin juga pada masa akan datang,” jelas beliau.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (Pendidikan Tinggi dan Inovasi) (Pembangunan Bakat) Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Datuk Francis Harden Hollis, Pengerusi Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Azmi Bujang. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan