KUCHING, 11 April: Lebih 3,000 bubur lambuk berjaya diedar menerusi konsep pandu lalu di Masjid Jamek dan Masjid Bandaraya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak (LAKMS), Abang Bikusary Kadir berkata, program tersebut merupakan acara tahunan lembaga berkenaan.
Katanya, sepanjang 10 hari program berlangsung, sebanyak 10 periuk bubur lambuk disediakan untuk diedarkan kepada orang ramai.
“Konsep pandu lalu ini sebenarnya mula diperkenalkan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang lalu.
“Sebelum ini pengagihan secara biasa termasuk ada yang datang membawa bekas masing – masing namun kaedah terkini lebih memudahkan urusan pengagihan kerana sudah dibungkus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Solidariti Ramadan Prihatin Perkeso bersama LAKMNS di perkarangan Masjid Jamek di sini hari ini.
Abang Bikusary berkata, LAKMNS sentiasa mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat lain yang ingin menyumbang bagi menjayakan program itu pada masa hadapan. -TVS