KUCHING, 12 April: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak akan melancarkan Operasi Penguatkuasaan Berfokus di sektor perladangan bermula 14 April hingga 16 Jun tahun ini.
Pengarahnya, Ir. Dr. Nor Halim Hasan berkata, tumpuan utama operasi ialah untuk memastikan prosedur operasi selamat berdasarkan penilaian risiko terhadap kerja-kerja berbahaya di ladang dipatuhi.
Kata beliau, ini termasuklah penggunaan kenderaan ladang dan peralatan untuk aktiviti perladangan.
“Berdasarkan kes-kes kemalangan yang lalu, antara aktiviti yang banyak menyumbang kepada kemalangan di sektor ini adalah seperti kerja-kerja memetik dan mengutip buah di kawasan yang terdapat kabel bervoltan tinggi, penggunaan jentera traktor untuk mengumpul hasil ladang dan aktiviti penggalian tanah serta menebas di ladang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau turut memberitahu, operasi juga bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja dan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal mematuhi perundangan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Berdasarkan rekod, sektor perladangan merupakan sektor kedua tertinggi merekodkan kes kemalangan maut selain sektor pembuatan, berdasarkan statistik kemalangan pekerjaan di Sarawak,” katanya.
Statistik juga kata beliau menunjukkan sektor perladangan menyumbang empat kes kemalangan maut pada 2022, dua kes pada 2021 dan sembilan kes pada 2020.
“Bagi kemalangan hilang upaya kekal, sebanyak tiga kes telah dicatatkan pada 2022, dua kes pada 2021 dan empat kes pada 2020.
“Manakala untuk kemalangan tidak hilang upaya kekal, sebanyak 85 kes direkodkan pada 2022, 77 kes pada 2021 dan 106 kes pada 2020,” ujarnya lagi.
Sebanyak empat kes juga didakwa di mahkamah dengan jumlah penalti yang dikenakan bernilai RM60,500 manakala tiga kes telah dikenakan kompaun dengan nilai jumlah denda sebanyak RM45,000. – TVS