SARIKEI, 12 April: Kemudahan taman trafik di negeri ini akan dihidupkan semula sebagai usaha memperkasakan kesedaran dalam kalangan generasi muda berhubung aspek keselamatan di jalan raya.
Sejajar dengan hasrat itu, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pelbagai usaha akan dilakukan termasuk menaik taraf prasarana di kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan selain memudahkan penganjuran aktviti yang berkaitan.
Kim Shin mendedahkan inisiatif itu juga turut dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sarawak.
“Setiap tahun, MKJR mengadakan kempen keselamatan jalan raya terutamanya semasa perayaan seperti Hari Raya, Hari Gawai, Tahun Baru Cina dan Krismas. Kami melakukan kempen ini setiap tahun tetapi kesannya tidak begitu ketara.”
“Perkara yang penting ialah kesan kepada pengguna jalan raya terutamanya golongan muda, kita harus melatih dan mendidik mereka,” katanya ketika mengadakan lawatan ke taman trafik di Kampung Seberang Sarikei, di sini hari ini.
Beliau berkata, penganjuran permainan lalu lintas yang dianjurkan oleh Shell sebelum ini memberikan kesan yang sangat efektif.
Malah katanya, setakat ini Sarawak mempunyai enam taman trafik yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk penganjuran program yang berorientasikan pendidikan keselamatan jalan raya itu.
“Taman trafik ini khas untuk penganjuran permainan lalu lintas. Taman trafik ada satu di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri. Jadi kita mempunyai enam taman trafik. Jadi apa yang saya hendak lihat adalah taman trafik tersebut masih boleh digunakan atau tidak, jika masih dapat digunakan, kita boleh menaik taraf dan memperbaikinya. Saya telah melawat taman trafik di MBKS Kuching, Miri, Bintulu, Sibu dan Sarikei, semuanya masih ada dan masih boleh digunakan,” katanya lagi. -TVS