Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gempa bumi lemah M3.1 di Kundasang, Sabah yang berlaku pada 14 Ogos 2022. Gegaran dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau, Sabah. Foto: MetMalaysia

Di luar lingkaran api pasifik, rakyat Malaysia usah panik tempias gempa bumi

BySalasiah Safian

KUCHING, 12 April: Rakyat Malaysia terutamanya di Sabah diminta agar tidak panik berhubung tempias gegaran gempa bumi boleh dirasai di negara ini.

Ini kerana menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Sarawak, Khairul Najib Ibrahim, Malaysia tidak dikategorikan sebagai negara yang terletak di kawasan lingkaran api pasifik.

Pada masa sama, katanya kerajaan melalui MetMalaysia sentiasa memantau sebarang aktiviti gempa bumi di Malaysia.

“Di Malaysia, kebanyakan kejadian gempa bumi telah direkodkan di Sabah. Terutamanya di kawasan garis sesar aktif. Seperti di garis sesar Lobu-Lobu dan Mensaban.

“Kebanyakan kejadian gempa bumi yang direkodkan di Malaysia adalah berskala kecil. Kecuali yang pernah berlaku di Lahad Datu pada 1976 yang bermagnitud 5.8 pada skala richter dan di Ranau pada 2015 dengan kekuatan 6.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS hari ini bagi mengulas pandangan pakar berhubung amaran supaya Malaysia berwaspada akan gempa bumi.

Dalam pada itu, kata Khairul pihaknya akan sentiasa memaklumkan kepada orang ramai agar mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Tambahnya, pihak kerajaan juga secara keseluruhannya berusaha untuk melaksanakan langkah mitigasi atau mengurangkan impak bencana akibat gempa bumi di kawasan yang mempunyai penduduk dan mempunyai sejarah kejadian gempa bumi yang pernah dirasai.

Terdahulu, Ketua Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Seismologi dan Gempa Bumi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Azlan Adnan memberi amaran Malaysia bakal dilanda gempa besar sehingga 7 magnitud susulan siri gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Menurut Dr Azlan menerusi satu portal tempatan, gempa bumi besar di Turkiye dan Syria tidak mempengaruhi berlakunya gempa di Malaysia tetapi gempa yang berlaku di Indonesia dan Jepun mampu mempengaruhi keaktifan Lingkaran Api Pasifik dan seterusnya menambah kemungkinan berlaku gempa di Malaysia.

Manakala menurut Pakar Geologi Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Felix Tongkul pula, kebanyakan gempa bumi kuat di Malaysia tertumpu di beberapa lokasi di Sabah.

Hal ini katanya disebabkan Sabah terletak pada plat bumi yang kurang stabil dan berdekatan dengan plat bumi tidak stabil dari Filipina.

Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan info terkini berkenaan gempa bumi di laman sesawang MetMalaysia di www.met.gov.my. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan