Isteri arwah Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib, 30, menunjukkan gambar arwah ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Pulau Mertajam, Penaga di sini hari ini. Foto: TVS

Arwah tidak banyak bercakap tentang raya

ByTVS

KEPALA BATAS, 12 April: Penemuan mayat anggota tentera selepas lima hari hilang di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik di Perak hari ini ketika Ramadan berbaki beberapa hari lagi memilukan anggota keluarga dan rakan – rakannya.

Meskipun keluarga tidak membuat persiapan besar menyambut hari raya, pemergian Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang bertugas di Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang begitu dirasai.

Baca berita berkaitan >>>>> Tentera hilang di hutan ditemukan meninggal dunia

Ibunya, Fadzilah Abu Bakar, 55, berkata, anak tunggalnya itu tidak bercakap mengenai persiapan menyambut Aidilfitri ketika menelefonnya.

Fadzillah Abu Bakar, ibu kepada anggota tentera yang ditemukan meninggal dunia hari ini. Foto TVS.

“Arwah sempat menghubungi saya sekejap pada pagi Jumaat lepas memaklumkan sedang mengikuti operasi dan kali terakhir saya berjumpa arwah ketika dia cuti pada Disember lalu.

“Kebiasaannya dia jarang bercerita tentang hari raya kerana kerap bertugas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Mertajam, Penaga di sini hari ini.

Saudara mara dan jiran menziarahi keluarga Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib di Kepala Batas hari ini. Foto TVS.

Ujar Fadzilah, Mohamad Nasri merupakan seorang yang penyayang dan mengambil berat tentang keluarga.

Sementara itu, isteri arwah, Nurhayatul Husna Abdul Muttalib, 30, berkata, dia sempat meminta izin daripada suaminya untuk menyambut hari raya di kampung bersama dua anak mereka di Sungai Petani, Kedah.

“Arwah tidak dapat bercuti tahun ini dan dia membenarkan saya bersama anak-anak pulang ke kampung.

“Operasi yang disertai arwah berkemungkinan tamat awal bulan depan dan kali terakhir kami bertemu pada 2 Mac lalu ketika menghantarnya ke kem,” katanya.

Pasangan tersebut tinggal di kuarters Batalion ke-25 RAMD Kem Seri Bentong sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.

Mohammad Nasri telah berkhidmat sebagai tentera darat sejak 12 tahun lalu dan dijangka menamatkan perkhidmatan pada September 2026.

Terdahulu, mayat Mohammad Nasri ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 10.15 pagi tadi di Hutan Simpan Royal Belum.

Anggota tentera itu dilaporkan hilang di kawasan pedalaman hutan simpan tersebut ketika melakukan operasi bersama lima anggota lain kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan