BUKIT MERTAJAM, 11 April: Seorang wanita kurang upaya (OKU) terkorban selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alma di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Nuraida Hashim, 43, ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Menurut Komander Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Mohd. Fazlee Mohamad, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.08 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dan BBP Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B berkeluasan kira-kira 250 meter persegi dengan anggaran kemusnahan 40 peratus.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemukan seorang wanita OKU berada di atas katil di dalam bilik dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, api berjaya dikawal pada pukul 5.31 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.26 petang.
Sementara itu, abang ipar mangsa yang mahu dikenali sebagai Abdul Rais, 48, berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa berada di rumah bersama ibu mentuanya berusia 80-an dan anaknya.
“Ibu mentua dan anak saya sempat melarikan diri, namun tidak dapat menyelamatkan adik ipar yang sudah dua tahun terlantar di katil.
“Saya dan isteri berada di Kulim, Kedah sebelum anak menelefon memberitahu mengenai kejadian itu dan kami bergegas pulang,” katanya.
Ujarnya, dia mengesyaki kejadian berpunca daripada litar pintas, namun menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut. – TVS