KUCHING, 11 April: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerima kunjungan daripada Setiausaha Persekutuan (SUP) Sarawak yang baharu, Ahmad Nadzri Mohd Hassan, pada Isnin.
Ia merupakan kunjungan hormat pertama daripada Ahmad Nadzri yang baharu dilantik sebagai SUP Sarawak pada 20 Februari lepas bagi menggantikan Dato’ Amir Omar yang bersara wajib pada September 2022.
Pada kunjungan di kediaman rasmi TYT di Demak Jaya itu juga menyaksikan isteri kepada Tun Taib iaitu Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib turut menyempurnakan satu majlis ringkas pemberian sumbangan berbentuk buah kurma dalam menjayakan program Drive Thru Ramadan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak yang dijadual berlangsung pada 12 April.
Mewakili Pengarah RTM, Azmi Ahmad dan Ketua Unit Pemasaran, Promosi dan Penyeliaan Iklan, Atikah Mahali telah menerima sumbangan berkenaan.
Majlis kemudian diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa, solat Maghrib, Isyak serta solat sunat tarawih berjemaah anjuran Astana Negeri Sarawak.
Antara jemputan yang menyertai majlis tersebut ialah dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Yayasan Budaya Melayu Sarawak.
Turut hadir Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Datu Dr. Sanib Said. -TVS