KUCHING, 11 April: Air tebu merupakan antara minuman yang sering ‘diburu’ orang ramai pada bulan puasa.
Oleh itu tidak hairanlah peniaga air tebu antara yang paling sibuk ketika Ramdan sekali gus memberi rezeki berganda.
Situasi itu turut dialami oleh Mustapha Kentol yang menjual minuman berkenaan di Matang Jaya.
Kata peniaga itu, dia memerlukan sekitar 400 hingga 500 kilogram (kg) tebu setiap hari untuk menghasilkan air tebu yang ‘nyaman’.
“Saya membeli tebu dari ladang dan kemudian bermulalah proses membersihkan sebelum tebu dimesin untuk dijadikan minuman,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Jelas Mustapha lagi, dia menggunakan kuantiti tebu yang banyak kerana ingin memastikan rasa manis tebu tidak hilang apabila diproses.
“Air tebu kemudian akan dimasukkan dalam plastik, botol besar atau botol kecil.
“Bagi botol besar, ia dijual pada harga RM10 dan RM8 manakala untuk botol kecil, hanya RM4,” katanya.
Menurut peniaga itu lagi, dia juga memberi pilihan kepada pelanggannya apabila turut menjual secara bungkusan.
Sepanjang Ramadan kali ini, Mustapha berkata, dia bersyukur kerana jualannya laris.
“Selalunya akan habis dijual namun pada hari tertentu, ada yang tidak habis semuanya namun kuantitinya kecil sahaja,” katanya.
Kata Mustapha, dia akan memberikan minuman yang tidak habis dijual kepada kepada saudara-mara, rakan dan jiran untuk mengelak pembaziran.
Dalam pada itu, Mustapha tidak menafikan air tebu mudah rosak.
Justeru bagi mengekalkan keaslian ras, dia akan meletakkan air tebu yang sudah diproses dalam bekas berisi ais sebelum dijual kepada pelanggan. – TVS