KUCHING, 11 April: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) yang baharu, Ruslan Abdul Ghani hari ini mengadakan kunjungan hormat bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selain Fadillah, delegasi BPHB juga bertemu Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Kedua-dua pertemuan itu berlangsung di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Ini merupakan kunjungan hormat kali pertama setelah Ruslan dilantik ke jawatan berkenaan pada 1 Mac lepas bagi menggantikan Dato Mohammad Medan Abdullah.
Ruslan berkata, kunjungan berkenaan antara lain menyuarakan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
“BPHB juga berharap agar kerajaan memberi lebih tumpuan untuk meneroka peluang pelaburan baharu yang memanfaatkan kedua-dua pihak,” katanya. -TVS