KUCHING, 11 April: Seramai 101 orang anak yatim dan golongan orang kurang upaya (OKU) menerima sumbangan hari raya sempena Majlis Berbuka Puasa Darul Hana anjuran Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) hari ini.
Sumbangan disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang kepada 26 orang wakil penerima pada majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Para penerima bantuan adalah dari 13 buah kampung dalam kawasan projek Darul Hana di mana jumlah keseluruhan sumbangan yang diagihkan ialah sebanyak RM10,100.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Martin Ben.
Sementara itu, ibu kepada seorang penerima yang juga seorang suri rumah, Nurul Faizah Junaidi, 30 berkata, dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh LCDA.
“Sumbangan kali ini diharap dapat meringankan beban saya untuk membeli barang-barang keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada TVS.
Bagi seorang penjawat awam yang turut menerima bantuan, Siti Aisyah Abdul Rani, 41, dia mahu memanfaatkan duit sumbangan itu untuk membeli keperluan persekolahan anaknya.
Acara tersebut merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan LCDA untuk memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. -TVS