LIMBANG, 10 April: Kerajaan melalui Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan terus memperhebat program dan mekanisme untuk belia terlibat dalam sektor ekonomi di Sarawak.
Naib Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota, Kaunselor Sufian Mohat berkata, memperkasa kemampanan ekonomi dalam kalangan belia menjadi satu daripada usaha berterusan dijalankan pihaknya.
Beliau yang juga Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) berkata, SABERKAS Bukit Kota menggalakkan lebih ramai para belia meneroka bidang perniagaan dan usahawan yang mampu memberi pulangan pendapatan sekali gus menggerakkan ekonomi dan pembangunan setempat.
“SABERKAS Bukit Kota melihat pembangunan usahawan belia penting dalam memacu pembangunan ekonomi secara mampan.
“Pelbagai program usahawan dan ekonomi serta perniagaan dilaksanakan kerajaan agar belia dapat terlibat sama,” katanya mewakili Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Program Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS di Perkarangan Masjid Nurul Iman, Kampung Telahak semalam.
Menurut beliau lagi, para belia mempunyai potensi kendiri dalam pelbagai bidang cuma perlu diberi peluang agar mereka dapat berkembang dalam bidang yang diceburi. -TVS