Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong Datuk Mohd Naroden Majais menyampai sumbangan daripada Petronas kepada penduduk Gedong.

Petronas sumbang bantuan kepada masyarakat di DUN Gedong

KUCHING, 10 April: Masyarakat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong harus bersyukur lebih-lebih lagi pada tahun ini banyak badan korporat menyatakan hasrat memberi sumbangan dalam masa terdekat ini.

Wakil Khas Premier Sarawak di Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, selain dari Petronas, pelbagai badan korporat juga telah menyatakan hasrat sedemikian.

“Ini menunjukkan bukan saja ekonomi negeri kita sudah semakin beransur pulih selepas pandemik COVID-19 namun yang lebih penting lagi, ia menunjukkan kita mempunyai masyarakat yang amat penyayang dan prihatin terhadap penduduk yang memerlukan bantuan.

“Biarpun apa jua bentuk bantuan tersebut, sama ada kewangan atau tunai, baikpun makanan dan sebagainya, ia pastinya bukan sahaja meringankan beban mereka yang menerima bantuan berkenaan tetapi boleh membawa kegembiraan dan keceriaan kepada mereka khususnya menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Naroden yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Program CSR PETRONAS – Sumbangan Raya untuk Gedong di Masjid Al Kawthar di Gedong semalam.

Jelasnya lagi, inilah masyarakat Malaysia, lebih-lebih di Sarawak yang mempunyai paling banyak kaum etnik yang sudah diiktiraf kerajaan Malaysia sebagai model negeri yang terbaik, bertoleransi terhadap budaya, adat istiadat, agama dan sebagainnya oleh semua kaum.

“Tahap memahami dan menghormati yang tinggi antara satu sama lain adalah punca utama kekuatan Sarawak yang telah ditunjukkan semua lapisan masyarakat, baik dari rakyat biasa sehinggalah tahap kepimpinan Sarawak yang tertinggi.

“Sebab itulah pemimpin kita amat disegani oleh masyarakat yang lain dan ia juga adalah sebab mengapa Sarawak telah menjadi sasaran para pelabur dari luar negara yang ingin melabur perniagaan mereka di sini,” katanya.

Naroden juga mengingatkan apa yang penting bagi masyarakat DUN Gedong kini adalah mereka harus menyediakan diri terutama sekali generasi muda kerana Gedong pasti akan melalui satu perubahan di mana Gedong akan dibangunkan sebagai Pusat Pentabiran Gedong.

Dalam perkara yang berkaitan, beliau juga mengingatkan pada 12 April ini, Premier Sarawak akan menyampaikan pampasan tanah di Gedong sebagai tanda permulaan pembangunan di Ismuth Gedong.

“InsyaAllah, dalam masa dua hingga tiga tahun kita akan menyaksi perubahan ini dan persediaan rakyat kita dari segi merebut peluang pekerjaan dan bagaimana memenuhi keperluan orang yang semakin banyak datang ke Gedong nanti,” katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Julaihi Mohd Mantali serta dif-dif jemputan yang lain. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan