KOTA KINABALU, 10 April: Infrastruktur kesihatan di Sabah berada di tahap kritikal, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai jumlah hospital dan klinik kesihatan yang terbanyak di negara ini, namun kebanyakannya dalam keadaan usang dan daif.
“Sabah perlu agihan peruntukan pembangunan kesihatan yang lebih besar kerana kebanyakan hospital dan klinik kesihatan berada dalam keadaan daif dan usang,” katanya dalam kenyataan media ketika menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, petang semalam.
Justeru itu katanya, Sabah memerlukan agihan peruntukan pembangunan yang saksama dan lebih besar berbanding negeri – negeri lain.
“Agihan peruntukan ini termasuklah pembinaan baharu dan menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti kesihatan yang sedia ada di negeri ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia mengenal pasti 326 klinik daif di Sabah yang dibina menggunakan kayu dan dikategorikan sebagai bangunan tidak selamat untuk diduduki.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Rose Nani Mudin. -TVS