KUCHING, 10 April: Perbincangan akan terus diadakan dari semasa ke semasa berhubung beberapa perkara dan pembangunan di Bahagian Bintulu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talip Zulpilip banyak pembangunan yang dilaksanakan di Bintulu, namun terdapat juga isu yang dihadapi penduduk, antara isu yang dibangkitkan ialah perebutan tanah dan tuntutan yang bertindih.
“Tiada pembangunan yang tanpa masalah, umpamanya hal tanah. Apabila ada pembangunan, orang ramai berebut tanah ataupun tuntutan yang bertindih. Jadi itu satu perkara yang kami utarakan, yang kami bentangkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Tambahnya, antara pembangunan yang dilaksanakan di Bintulu ialah projek pembinaan Jambatan Bintulu-Jepak, Projek Pembangunan Jepak Jaya yang melibatkan lebih 8,300 lot perumahan serta pusat pentadbiran.
Sebelum ini, beliau yang juga merupakan Penasihat Pembangunan Jepak Jaya telah mengadakan perbincangan bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).
Sehubungan itu, beliau turut berharap agar penduduk setempat terus memberikan sokongan kepada pihaknya. -TVS