KUCHING, 9 April: Sarawak muncul sebagai pasukan yang kuat berikutan sikap bersatu padu yang diamalkan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, kekuatan itu seterusnya membolehkan Sarawak memiliki suara yang ‘jelas’ di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Kata beliau, ini dapat dilihat berdasarkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sarawak selain turut memiliki lima menteri penuh di Persekutuan.
“Kita tidak menyangka wakil rakyat kita dari Petra Jaya menjadi Timbalan Perdana Menteri.
“Kita kuat di pusat dan negeri dengan niat yang betul. Kalau negeri kita berpecah, jangankan TPM (dari Sarawak) malah jawatan Menteri pun mungkin tak cukup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perujian Tilawah Al- Quran Peringkat Dewan Undangan Negeri Samariang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Sementara itu mengulas mengenai majlis tersebut, Abang Johari berkata ia merupakan majlis yang bermanfaat dalam mempertingkatkan ilmu umat Islam di kawasan Samariang.
“Ujian tilawah ini selain kita membaca dengan rukunnya hendaklah kita membaca terjemahannya kerana dalam Al- Quran semuanya cukup.
“Saya berterus terang apa yang saya buat dengan rakan-rakan dalam kerajaan adalah berteraskan Al- Quran dan ini kita laksanakan dalam kehidupan kita,” ujarnya.
Jelas Abang Johari , Al -Quran menjadi rujukan dalam membangunkan Sarawak.
Majlis Perujian Tilawah Al-Quran peringkat DUN Samariang yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 April dianjurkan sempena sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri Sarawak.
Ia menyaksikan penyertaan seramai 26 peserta dengan Muhd Syahazizamir dinobatkan johan qari manakala Hapipah Julaihi merangkul johan qariah. – TVS