IPOH, 10 April: Seorang anggota tentera dilaporkan hilang ketika melakukan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Royal Belum, Gerik dekat sini.
Kehilangan anggota lelaki berusia 33 tahun dari Batalion ke-25 RAMD Kem Sri Bentong, Pahang itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5 petang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya melakukan siasatan selepas menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.
Ujarnya, mangsa bersama lima anggota lain dikatakan sedang melakukan operasi di kawasan penugasan sebelum dilaporkan hilang.
“Usaha mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula 7 April lalu.
“Sehingga kini mangsa belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – TVS