KUCHING, 9 April: Tindakan menyekat video tular seorang pelajar perempuan bawah umur yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Namun demikian, menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya ‘tidak lepas tangan’ dalam isu itu apabila bekerjasama dengan pihak berwajib.
Kata beliau, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan polis untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung kes itu.
“Mengikut peruntukan undang – undang Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, secara umumnya kita tidak boleh mendedahkan wajah dan nama mereka demi melindungi masa depan mereka.
“Di pihak kami (KPWKM), perbincangan akan dilakukan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Kasih Ramadan KPWKM di sini hari ini.
Nancy berkata demikian sebagai mengulas penyebaran video seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kereta ‘Axia’ merah bersama seorang lelaki dewasa berumur 22 tahun.
Perkara itu menjadi sensasi apabila kelibat remaja berkenaan dirakamkan oleh media ketika dibawa untuk direman.
Berhubung program berkenaan, Nancy memberitahu, seramai 40 orang penghuni Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Sarawak yang telah mendaftar secara sukarela akan diberikan bantuan.
Ujar beliau, mereka akan dibantu termasuk melalui proses intervensi untuk mengubah nasib diri. -TVS