PULAU BRUIT (Daro), 9 April: Perkongsian ilmu dan pembangunan modal insan seperti keusahawanan dan pertanian merupakan program yang dirancang untuk dianjurkan Saberkas Cawangan Semop.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata program bersifat sedemikian bertujuan melengkapkan belia dengan pelbagai ilmu kemahiran dan jati diri.
“Saberkas Cawangan Semop terdiri daripada berbilang kaum dan telah menarik keahlian serta penyertaan ramai warga belia dari setiap penempatan dalam kawasan DUN N42 Semop,” katanya yang juga Pengerusi Saberkas Cawangan Semop.
Beliau berkata demikian pada Jerayawara Ramadan 2023 di sini pada Sabtu.
Menerusi jerayawara itu, beliau bersama 80 orang ahli Saberkas dari kampung dan rumah panjang berhampiran bergotong-royong menyedia dan mengagihkan bubur lambuk di jalan Kampung Penuai.
“Jerayawara Ramadan merupakan acara tahunan Saberkas Semop sejak ditubuhkan 10 tahun lepas.
“Setiap unit Saberkas akan diberi peruntukan bagi mengadakan program di tempat masing-masing termasuk pada Ramadan,” ujarnya.
Program Saberkas di Kampung Penuai adalah sebahagian dari pengisian jadual lawatan kerja tiga hari Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop.
Lawatan kerja itu merangkumi Kampung Sedo, Penipah, Bruit, Melayu Bintangor dan penempatan rumah panjang di Bekakong, Kelai dan Sungai Sian.
Beliau menyerahkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM164,500 ketika melawat beberapa kampung.
Bagi pembinaan ‘culvert’ dan jalan konkrit di Kampung Penipah, beliau menyerahkan RM90,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
RM70,000 pula diserahkan kepada JKKK Kampung Penibong untuk baik pulih jambatan dalam kampung.
PIBG SK Kpg Betanak menerima RM2,500 untuk Majlis Khatam Al-Quran.
Semasa di Kampung Sedau, beliau menyampaikan sumbangan RM2,000 bagi membiayai aktiviti JKKK. – TVS