KUCHING, 9 April: Jangkaan oleh Pusat Astronomi Antarabangsa yang Hari Raya Aidilfitri tahun ini berkemungkinan jatuh pada 21 April tidak terpakai di Malaysia disebabkan oleh beberapa faktor.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ini termasuklah kerana wujud perbezaan zon waktu di antara Malaysia dengan negara – negara di Timur Tengah.
Sehubungan itu kata beliau, tidak semestinya apa yang diramalkan oleh pusat berkenaan yang berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) akan sama dengan keputusan di Malaysia.
“Kita mempunyai gabungan Majlis Fatwa yang menentukan waktu untuk melihat anak bulan, sama ada melalui rukyah atau hisab.
‘Tahun ini permulaan Ramadan kita menggunakan hisab, oleh yang demikian dijangkakan 1 Syawal pada 22 April namun kita masih bergantung keputusan yang bakal diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra N4 Pantai Damai di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pusat Astronomi Antarabangsa menjangkakan akhir Ramadan pada tahun ini jatuh pada Khamis bersamaan 20 April 2023.
Laporan portal Gulf News bagaimanapun menyebut beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin sukar melihat anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.
Mengikut amalan, tarikh sambutan Aidilfitri di Malaysia bergantung kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Pengumuman dijadual akan dibuat pada 20 April ini. -TVS